11 May 2012

Tentang Hari Jumaat

Sudut pandang Islam meletakkan Jumaat adalah permulaan kepada hari-hari berikutnya dalam seminggu, bukan penghujung hari dalam seminggu. Nabi menganjurkan kita untuk mengecas sayyidul ayyam ini dengan surah al-Kahfi beserta tadabburnya, agar hari seterusnya yang dilalui dalam seminggu tidak termakan dengan fitnah Dajjal yang datang dalam bentuk mencelarukan cara berfikir - pandangan alam, paradigma dan sistem nilai.


4 kisah menarik dalam surah al-Kahfi (Pemuda di dalam gua, pengembaraan Nabi Musa as dan Khidir, pemilik dua kebun, Zulkarnain) membentangkan konsep-konsep membetulkan cara berfikir umat Islam, bagi menyelamatkan diri daripada fitnah akidah, fitnah harta, fitnah ilmu dan fitnah kuasa yang bakal menjadi senjata ampuh bagi hegemoni Dajjal memesongkan jati diri umat Islam.

Kemudian, di hari Jumaat para qawwam wajib mengikuti perhimpunan mingguan terbesar bagi umat Islam. Memandang hari Jumaat sebagai hari penghulu kepada hari-hari dalam seminggu, memberi ruang kepada umat Islam untuk meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga bagi mengecas emosi sebagai bekalan untuk hari seterusnya. Umpamanya seseorang berehat dan menyediakan badan yang sihat sebelum memulakan kerja. Memandang hari Jumaat sebagai hari terakhir dalam seminggu menyebabkan kita melihat masa bersama keluarga di hujung minggu sebagai masa untuk 'merawat', setelah seminggu mengalami tekanan kerja. Umpamanya, seseorang bekerja untuk mengejar waktu rehat.

Memilih sudut pandang yang betul sangat penting kerana ia akan mempengaruhi sikap sepanjang bekerja.

Kita muncul dalam acuan budaya bercuti di hari Sabtu dan Ahad. Bagi sesetengah orang, syiar hari Jumaat tidak terzahir kerana ia dianggap seperti hari-hari bekerja yang lain. Lebihnya cuma waktu rehat tengahari lebih panjang (tidur semasa khutbah?) berbanding hari-hari lain. Malaysia, hanya Kelantan, Terengganu dan Kedah yang masih kekal bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Di Johor dan Perlis, asalnya cuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Namun disebabkan otak pemimpin Umno terlalu cerdik (termasuk semasa Muhyidin Yasin jadi MB di Johor), cuti ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.


Sistem kita sendiri yang membentuk persepsi bahawa hari Jumaat itu tiada apa-apa yang istimewa, walhal ia merupakan hari 'perayaan' dalam Islam. Di Kelantan, cuti pada hari Jumaat telah membudaya dalam masyarakat, bahkan kuliah agama besar-besaran menjadi rutin di pagi Jumaat, bukan sekadar di bandar Kota Bharu malah seluruh negeri.

Jika kita menyebut perkataan 'cuti' dalam Bahasa Inggeris iaitu 'holi-day', pun kita akan terbau konotasi yang boleh menjadi persoalan besar. Kita tahu dalam tradisi keagamaan, Islam sinonim dengan hari Jumaat, Yahudi sinonim dengan hari Sabtu dan Kristian sinonim dengan hari Ahad, sebagai hari Sabbath Kristian.



Di bawah merupakan Fatwa Kerajaan Negeri Perlis berkaitan pertukaran cuti hari Jumaat kepada cuti hari Ahad yang boleh dirujuk di sini.

Islam tidak mewajibkan cuti pada mana-mana hari pun dalam seminggu, oleh kerana keadaan dan suasana masyarakat pada hari ini memerlukan cuti rehat dalam seminggu, maka bolehlah dipilih hari tertentu untuk dijadikan cuti mingguan, namun begitu, hari cuti tersebut tidak boleh mengikut kebiasaan masyarakat Kristian yang bercuti pada hari Ahad dan merupakan hari penganutnya pergi ke gereja.

Adalah wajar diteruskan cuti mingguan pada hari Jumaat seperti yang menjadi tradisi dan adat resam Melayu di Negeri Perlis.

Masyarakat Islam Perlis telah biasa dan sebati bercuti pada hari Jumaat dan menjadikannya sebagai hari bekerja menimbulkan banyak keburukan dan kesulitan seperti bagi pekerja kilang dan pelajar sekolah yang tidak dapat hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Sementara tindakan menjadikan Hari Ahad sebagai hari cuti mingguan adalah tindakan membesarkan hari tersebut sebagaimana penganut Kristian membesarkannya. Dengan berbuat demikian kita telahpun mengikut jalan dan jejak langkah mereka. Sedangkan rasulullah saw bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai atau mencontohi cara hidup sesuatu kaum (bukan Islam) maka dia tergolong dari kalangan mereka. 

Oleh itu, Jawatankuasa Syariah bersetuju sebulat suara bahawa cuti mingguan dikekalkan pada hari Jumaat, Jawatankuasa Syariah juga bersetuju sebulat suara mendesak Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan isu itu. 

Disebabkan Islam tidak menetapkan mana-mana cuti dalam seminggu, maka ia terpulang kepada kebijaksaan pemerintah untuk membentuk budaya kerja warganya. Sudah menjadi piawaian antarabangsa untuk bekerja 40 jam seminggu dari hari Isnin hingga Jumaat. Di UK, China, Bulgaria, India, Itali, Perancis, Mexico, New Zealand, Thailand, Amerika Syarikat dan sebagainya menjadikan hari Isnin hingga Jumaat sebagai hari rasmi bekerja. Namun di beberapa negara majoriti penduduk Islam tidak mengambil Sabtu dan Ahad sebagai weekend. Contohnya di Algeria, Bahrain, Bangladesh, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Libya, Qatar, Sudan, Syria, Arab Saudi dan Yaman bercuti pada Jumaat dan Sabtu. Berlainan dengan 'negara Islam contoh terbaik dunia' yakni Malaysia, kita bercuti hari Sabtu dan Ahad. Di Brunei, warganya bekerja pada hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu manakala cuti mingguan jatuh pada hari Jumaat dan Ahad.


Dari segi efektif kerja untuk umat Islam, sudah tentu pilihan bekerja pada hari Ahad hingga Khamis adalah yang terbaik. Kerana bekerja pada hari Jumaat boleh mengurangkan jam bekerja akibat rehat yang lebih lama untuk solat Jumaat. Malah, momentum kerja selepas solat Jumaat menurun mendadak.

Yang paling menggusarkan ialah jika waktu khutbah Jumaat dijadikan waktu untuk berehat dan tidur setelah penat bekerja dari awal pagi, lalu makna Jumaat dan khutbah Jumaat itu tidak lagi berfungsi dalam kalangan umat Islam. Tiba-tiba kita kata Islam akan menang jika solat Subuh menyamai ramainya seperti solat Jumaat?

.

1 comment:

  1. saya suka entry ini....

    kita akan menang jika subuh ramai macam jumaat... tapi kalau pun ramai macam jumaat 'semasa'... mengundang kekalahan juga... iyalah... ramai yang 'dijaga' dari jaga

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...